Hakikat Umur
Masa berlalu dengan cepat meninggalkan kita. 40
atau 50 tahun yang lalu kita seorang bayi yang tidak tahu apa-apa
kecuali tangisan. 15 atau 20 tahun selepas itu kita serong remaja yang
mempunyai ramai kenalan dan sahabat handai.
Kemudian kita menjadi dewasa menempuh banyak pengalaman pahit manis.
Dan akhirnya kita menjadi seorang tua yang sudah lemah anggota dan tidak
setampan atau secantik dulu. Ketika itu orang ramai sudah menjauhkan
diri dari kita, bahkan anak-anak kadangkala tidak suka bergaul atau
melayan kita seperti biasa.
Inilah hakikat hidup yang dikatakan
tipu daya. Tidak ada yang kekal. Paras yang handsome tak kekal lama,
akhirnya berkedut. Gigi yang penuh dan putih berseri lama-kelamaan mula
rapuh dan rongak, rambut hitam yang segar kini menjadi putih dan lesu,
deria telinga yang tajam mula berkurangan. Begitu juga tubuh yang tampan
dah mula lemah dan berpenyakit. Ingatlah amaran Allah telah tiba -
bahawa dunia akan meninggalkan kita dan kita sedang menuju alam lain
iaitu alam kubur (barzakh) dan kemudian ke alam akhirat yang abadi. Di
alam inilah kita akan hidup selama-lamanya. Kita akan tinggal di syurga
atau neraka, bergantung kepada amalan semasa hidup di dunia.
Allah bersifat dengan Rahman (Pengasih kepada semua) dan Rahim
(Penyayang khusus kepada orang mukmin). Semasa peringkat bayi, Allah
tugaskan kepada ibu bapa untuk menjaga dan membesarkan kita. Mereka
mengasuh dan mendidik serta mentarbiah dengan akhlak dan agama. Semasa
remaja, kita beramal dengan ilmu yang kita perolehi melalui usaha mereka
dan juga masyarakat keliling. Ketika dewasa, kita pula menjadi
pembimbing kepada anak cucu serta orang-orang lain. Ibarat pokok asalnya
benih disirami air, kemudian membesar mengeluarkan bunga dan akhirnya
mengeluarkan buah untuk dimakan oleh manusia dan haiwan.
Tetapi
apabila kita sudah tua dan tidak bermaya lagi, kita tidak begitu
diperlukan. Kita mula disisih dari orangramai. Pergerakan kita terhad.
Minda kita mula merosot. Ingatan sudah tidak begitu kuat. Kesihatan kita
makin terjejas. Apakah ini menjadi tanda bahawa Allah sudah tidak
menyayangi kita lagi? Tidak sekali-kali! Malahan kesayangan Allah tetap
sama. Apabila Allah renggangkan manusia daripada kita, itu bermakna
Allah hendakkan kita mendampingi diriNya. Supaya hati kita bertambah
tertambat dan lebih bertawakkal kepadaNya saja. Penyerahan diri hanya
kepada Allah apabila manusia sudah mula renggang dari kita. Masa tua
kita banyak menyendiri dan tidak disibukkan dengan pelbagai urusan
dunia. Jadi amatlah sesuai untuk kita melipatgandakan amalan sambil
bertafakkur, berzikir dan muhasabah diri tentang amalan yang kita buat
selama ini. Kita punya masa yang banyak untuk koreksi diri dan
bertaubat. Selagi nyawa belum sampai di khalqum (ghargharah), pintu
taubat masih terbuka buat kita.
Amalan kita yang biasa kita
lakukan semasa muda atau ketika sihat, walaupun sudah tidak mampu
dilakukan lagi kerana sudah uzur, namun pahalanya tetap kita perolehi
meskipun kita tidak lakukan. Contohnya semasa muda, sudah menjadi amalan
atau budaya untuk bersolat jemaah atau menghadiri majlis ilmu di
masjid. Tetapi apakan daya amalan itu tidak dapat dilakukan lagi semasa
tua. Sungguhpun begitu pahala amalannya itu terus diperolehi walaupun
kita tidak membuatnya.
Nabi Muhammad saw pernah berpesan supaya
kita merebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Di antaranya ialah
beramal ketika muda sebelum datang masa tua. Masa muda ialah masa yang
amat baik untuk beramal kerana ketika itu badan dan jiwa kita masih
kuat. Jadi apabila sudah tua, amal yang kita buat akan terus mengalir
walaupun kita tidak membuatnya. Masa muda ibarat masa menanam dan tua
ialah masa untuk kita tuai hasilnya.
Meskipun demikian
kita seharusnya berdoa supaya tidak menjadi seorang tua yang tidak
sedarkan diri. Semakin tua semakin menjadi. Umur sudah menjangkau 50
tapi masih merasakan seolah-olah masih remaja. Usia sudah tua tapi
berperangai macam orang muda. Inilah yang kita takuti kerana hati kita
mudah terbalik. Nabi pernah bersabda sekiranya umur sudah mencapai 2/3
(40 tahun) tetapi amal kejahatan lebih banyak daripada kebajikan, maka
bersiap sedialah (gulung tikar bantal) untuk menempah tempat di neraka.
Kita juga seharusnya berdoa supaya umur kita tidak terlalu panjang
sehingga menjadi nyanyuk dan kembali seperti perangai bayi yang tidak
dapat membezakan sesuatu.
"Ya Allah, kami memohon kepadaMu
supaya hidupkan kami sekiranya ia baik bagi kami. Dan Engkau matikanlah
kami sekiranya ia baik bagi kami. Janganlah Engkau tarik hidayah yang
telah Engkau berikan kepada kami. Ampunilah kami di atas kelemahan kami,
sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Allah,
matikanlah kami dalam husnul-khatimah dan janganlah Engkau akhiri hidup
kami dengan suul-khatimah. Akhirkanlah lisan kami dengan kalimah
Lailahaillah, semoga Engkau masukkan kami di dalam golongan Abrar.
Sepeninggalan kami kelak, ya Allah Engkau jadikanlah anak cucu kami
sebagai pewaris Nabi yang menegakkan kalimah dan agamaMu di saat mana
manusia telah banyak melupakanMu. Akhirnya Ya Allah, berkatilah saki
baki umur kami yang tinggal sedikit ini untuk berbakti kepadaMu dan
Engkau redhailah kami menjadi hambaMu. Amin ya Rabbal Alamin...
No comments:
Post a Comment